Saturday, October 30, 2010

KEPENTINGAN ILMU QIRAAT (mini tesis)

MUQADDIMAH


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه اجمعين


Segala puji bagi Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya dapat kami menyiapkan satu tugasan yang diberi iaitu mengupas isu yang berkaitan dengan kepentingan ilmu Qiraat. Dalam tugasan ini kami akan cuba mengupas tajuk-tajuk yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya ialah cara memanfaatkan ilmu Qiraat, tujuan pembelajarannya di peringkat tinggi serta satu persoalan kenapa ilmu Qiraat tidak berkembang. Ilmu Qiraat adalah ilmu yang membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Quran dan keadaan kalimah-kalimah tersebut seperti panjang, pendek dan sebagainya. Ilmu Qiraat dimasyhurkan dan diperincikan oleh imam-imam Qurra’. Ilmu Qiraat merupakan semulia-mulia ilmu kerana ianya mempunyai kaitan yang rapat dengan al-Quran, manakala hukum mempelajari ilmu al-Qiraat adalah fardu kifayah. Proses pengajian dan pembelajaran ilmu al-Qiraat ini mestilah bersandarkan daripada guru yang sanadnya sampai kepada Rasulullah S.A.W kerana al-Quran dan al-Qiraat merupakan sunnah Muttaba’(yang diikuti). Semoga usaha yang kecil ini mendapat keberkatan dari Allah.








PENGENALAN ILMU QIRAAT



Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat Melayu kerana ia tidak dimasyhurkan di negara kita, sedangkan ia berkembang luas pada zaman Rasulullah S.A.W dan selepasnya. Sebenarnya ia bukanlah suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, bahkan Al-Quran yang dibaca sekarang adalah Qiraat, tetapi masyarakat kita tidak mengetahuinya. Sebagaimana Al-Quran dan Qiraat adalah suatu kombinasi yang tidak dapat dipisahkan, begitu juga pada ilmu Tajwid. Ini bermakna Al-Quran itu adalah Qiraat dan Tajwid itu adalah Al-Quran. Maksudnya jika seseorang itu membaca Al-Quran tanpa bertajwid ia tidak dinamakan Al-Quran, juga tidak menjadi suatu ibadat, bahkan ia berdosa di sisi syarak. Firman Allah SWT,

ِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا

"Bacalah Al-Quran dengan murattal (bertajwid dan menyebut hurufnya dengan baik)."(al-Muzammil: 4)




Qiraat adalah bentuk masdar daripada qara’a atau jamak daripada qiraah yang ertinya bacaan. Menurut istilah ilmiah, qiraat adalah satu mazhab(aliran) pengucapan Al-Quran yang dipilih oleh salah seorang Imam qurra’ sebagai suatu mazhab yang berbeza dengan mazhab lainnya. Dengan kata yang lain ia membawa maksud perbezaan-perbezaan dalam membaca Al-Quran, iaitu perbezaan lafaz-lafaz Al-Quran mengenai huruf-huruf dan cara mengucapkannya di segi tebal atau nipis, panjang pendeknya dan sebagainya.
Muhammad Abdul Azim Az-Zarqani mengatakan: "Qiraat ialah suatu mazhab yang dipilih oleh imam qiraat yang mana antara satu dengan lainnya tidak sama dalam menuturkan Al-Quran."
Muhammad Salam Muhsin mengatakan: “Qiraat adalah satu ilmu yang membahaskan tentang cara pertuturan kalimat-kalimat Al-Quran serta cara pelaksanaannya dengan menisbahkan setiap wajahnya kepada seorang Imam pakar qiraat.”
Muhammad ‘Ali Shabuni mengatakan: "Qiraat ialah suatu cara daripada beberapa cara mengucapkan Al-Quran yang masing -masing imam itu memilih satu cara yang berbeza dengan yang lainnya dalam mengucapkan Al-Quran.”
Definisi tersebut di atas, dapatlah kita simpulkan qiraat adalah suatu ilmu pengetahuan mengenai cara melafazkan Al-Quran secara praktikal dengan pengucapannya yang baik, sama ada disepakati atau diperselisihkan kesahihannya dengan berpandukan pada mazhab-mazhab yang diakui sanadnya hingga sampai kepada Rasulullah S.A.W. Qiraat yang dianggap mutawatir dalam pembacaan Al-Quran adalah Qiraat Sab'ah atau Qiraat Tujuh. Sebahagian orang menyangka bahawa qiraat atau kepelbagaian bacaan Al-Quran tersebut direka oleh Rasulullah S.A.W atau oleh para sahabat dan para tabiin. Tidak kurang juga yang membuat andaian ianya dibuat oleh pakar Al-Quran yang dipengaruhi oleh kabilah-kabilah Arab atau bangsa ‘Ajam (bukan Arab) yang Islam. Anggapan tersebut adalah tidak benar berdasarkan riwayat puluhan hadis sahih menerangkan pelbagai bacaan semenjak Al-Quran diturunkan. Kesemua bacaan yang diriwayatkan oleh ketujuh-tujuh imam itu telah diakui dan disepakati oleh para ulama sebagai sahih dari Rasulullah SAW yang dikenali dengan Qiraat Sab'ah atau Qiraat Tujuh. Beberapa kitab ulum Al-Quran menyebut tentang qiraat tujuh yang dianggap mutawatir oleh jumhur ulama.
Ibnu Subki mengatakan pula: "Qiraat tujuh dipandang mutawatir dengan sebenar-benarnya, yakni yang dinukilkan daripada Rasulullah S.A.W oleh suatu jemaah yang diyakini mereka tidak mungkin berdusta."
Para ulama bersepakat tentang kemutawatiran qiraat tujuh ini. Oleh kerana itu umat Islam wajib mempercayai dan tidak boleh menolak kebenaran qiraat tujuh ini, yang telah dibawa oleh orang-orang kepercayaan dengan sanad yang bersambung terus kepada Rasulullah S.A.W. Al-Qadhi Jalaluddin Al- Balqini yang menyifatkan qiraat tujuh sebagai mutawatir lagi masyhur, katanya: "Qiraat itu terbahagi menjadi qiraat mutawatir, ahad dan syaz. Adapun qiraat yang mutawatir adalah qiraat tujuh."












KEPENTINGAN ILMU QIRAAT DAN CARA MEMANFAATKANNYA


FASAL 1 : KEPENTINGAN ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Mempelajari ilmu Qiraat mempunyai kepentingan dan peranannya yang saling berkaitan di dalam ilmu syariah . Qiraat adalah satu ilmu yang sangat penting dan mempunyai peranannya yang tersendiri. Antara kepentingan dan peranannya ialah memudahkan ahli fuqaha’ (ahli fiqh) untuk mendapatkan hukum. Qiraat menjadi dasar penting dalam bidang ilmu fiqh kerana untuk mengetahui atau menentukan sesuatu hukum dan untuk menistinbat sesuatu hukum, ahli fiqh mestilah mempelajari ilmu Qiraat disamping perlu menguasainya.

Mempelajari ilmu Qiraat di dalam ilmu syariah amatlah penting dengan penggunaan nas-nas syara' di dalam al-Qur'an terhadap hukum yang bersifat umum (kulli) yang diutamakan dan kemungkinan nas-nas tersebut untuk menerima pelbagai pemahaman. Penggunaan nas-nas ini juga merupakan faktor keluasan dan kehebatan yang terdapat dalam syariat Islam. Ini adalah pandangan yang diutarakan oleh Yusuf al-Qardhawi yang merupakan seorang professor yang diiktiraf seluruh dunia sebagai pemikir Islam dan ulama' kontemporari.

Selain itu, kepentingan ilmu Qiraat ialah sebagai keperluan asasi bagi pelaksanaan syariat Islam. Asasi bagi pelaksanaan yang perlu dilakukan bagi melaksanakan syariat Islam ialah salah satu daripada berkaitan dengan peranan al-Qur'an iaitu pelaksanaan ajaran Islam secara menyeluruh berdasarkan al-Qur'an dan as-Sunnah. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah pentingnya peranan ilmu Qiraat di dalam ilmu syariah bagi ahli fuqaha' untuk menentukan sesuatu hukum. Sesungguhnya ilmu Qiraat sebahagian ilmu al-Qur'an dan merupakan ilmu yang sangat luas.















FASAL 2 : MANFAAT ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Penggunaan ilmu Qiraat di dalam ilmu syariah amat luas untuk digunakan oleh ahli Fuqaha' untuk mendapatkan hukum melalui bacaan imam-imam Qiraat. Bukan sahaja ulama' fiqh malah ulama' tafsir, ulama' hadis, ahli nahu dan sebagainya.

Dalam fasal ini, akan diterangkan penggunaan al-Qur'an sebagai sumber hokum di dalam Islam. Tentu sekali keaslian ayat-ayat al-Qur'an ini boleh diyakini dan dirasai kebenarannya bahawa ianya diriwayatkan kepada kita dalam bentuk yang asal sebagaimana al-Qur'an diturunkan dari Allah S.W.T melalui perantaran malaikat Jibril A.S. kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana ianya disampaikan kepada kita secara mutawattir, baik secara lisan ataupun secara penulisan. Hasil dari kedudukan dan sifat tersebut, al-Qura'an adalah suatu sumber hukum yang paling berautoriti dan utama di dalam alam pentadbiran syariat Islam.

Ini kerana apabila penetapan sesuatu hukum daripada Allah S.W.T, ianya mestilah ditaati dalam setiap masa. Walau bagaimanapun pengertian ayat-ayat al-Qur'an tersebut tidak semuanya jelas. Bahkan ada yang jelas (قطعية الدلاة) dan kurang jelas (ظنية الدلالة), seperti di dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:

" Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka selama-lamanya; " ( Surah an-Nuur; 24:4).

Dalam ayat ini, perkataan 'lapan puluh' itu sangat jelas maksudnya. Begitu juga dengan perkataan 'selama-lamanya'. Ayat di atas berbeza dengan ayat-ayat lain yang kurang jelas maksudnya. Seperti perkataan 'quru' dalam firman Allah S.W.T:

" Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (quru')." (Surah al-Baqarah; 2:228)

Maksud tiga kali suci itu adalah haid daripada perkataan 'quru' tersebut. Oleh itu, pengertian tersebut adalah zanni atau kurang jelas. Tetapi tidak semua ayat-ayat al-Qur'an seperti firman-firman di atas. Dengan ilmu Qiraat jugalah dapat membantu ulama fiqh menistinbatkan hukum bahawa quru itu merujuk kepada haid.

Al-Qur'an menggunakan pelbagai gaya untuk menerangkan sesuatu hukum. Antaranya ialah memberi keterangan secara keseluruhan (kulli) iaitu dengan menyebut kaedah dan prinsip umum yang akan menjadi asas kepada hukum-hukum yang lebih terperinci. Selain itu, ia juga menerangkan hukum secara umum (ijmal) sehingga memerlukan keterangan dan perincian yang lebih lanjut. Seterusnya, keterangan secara lebih terperinci atau tafasili yang terdapat pada ayat-ayat al-Quran juga berkaitan mengenai hukum aqidah dan akhlak.

Impak ilmu Qiraat terhadap ilmu syariah mempunyai kesan yang membawa kebaikan yang sangat besar. Sama ada faedah itu dapat dirasakan atau sebaliknya. Begitu juga di dalam perkara berkaitan ibadat yang merupakan bidang ilmu syariah, ada yang dapat difikirkan dan sebaliknya. Kesan ilmu qiraat dalam ilmu syariah amatlah bernilai bagi umat Islam seluruhnya.


Antara kesan kebaikannya ialah kita dapat menerangkan hukum yang telah diijma'kan ulama. Contohnya ayat hukum tentang harta pusaka. Di dalam ilmu Qiraat ada bacaan yang menerangkan tentang saudara lelaki dan perempuan dari pihak bapa atau ibu. Maka diterangkan Qiraat oleh Saad bin Waqas bahawa saudara lelaki sebelah ibu walaupun Qiraatnya adalah syaazah. Berikut maksud ayat tentang keterangan tersebut. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

" Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)." (Surah an-Nisa', 4:12)

Kesan yang lain pula, menguatkan hukum yang khilaf. Selain itu juga, Qiraat memudahkan hafalan dan ingatan serta memudahkan penerimaan oleh umat Islam kerana ia mempunyai pelbagai bidang ilmu. Ia juga menunjukkan kelebihan dan kemuliaan umat nabi Muhammad S.A.W kepada umat yang lain.

Akhir sekali, ilmu Qiraat dapat membantu memahami segala aspek yang terkandung di dalam al-Qur'an dengan lebih luas dan mendalam terutamanya ilmu syariah di dalam ilmu qiraat dan al-Qur'an yang saling berkaitan. Oleh itu, sesungguhnya banyak lagi impak kebaikan Qiraat terhadap ilmu syariah. Wallahua'alam...










PEMBELAJARAN QIRAAT DI PERINGKAT TINGGI


Sistem pembelajaran ilmu Qiraat di Malaysia terbahagi kepada beberapa peringkat yang mencakupi dari semua tahap pembelajaran. Bermula dengan TASKA (TADIKA KEMAS) atau PASTI (PUSAT ASUHAN TUNAS ISLAM) yang semakin popular di kalangan masyarakat di Malaysia. Mereka mendedahkan tentang ilmu Qiraat ini kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah mengenai kewujudan ilmu Qiraat ini. Namun begitu ia tidaklah menyeluruh seperti yang diajar di universiti ataupun di pondok-pondok. Ilmu ini diajar kerana selari dengan pengajaran ilmu Tajwid yang mana kita ketahui bahawa ilmu Tajwid dan ilmu Qiraat merupakan ilmu yang tidak dapat dipisahkan sama sekali. Kemudian, pembelajaran ilmu Qiraat ini meningkat setapak di pondok-pondok. Pembelajarannya lebih mendalam dan sistematik jika dibandingkan dengan peringkat kanak-kanak yang menuntut di TASKA ataupun PASTI. Namun begitu, sistem pembelajaran di pondok-pondok tidak menitikberatkan toruq Jazari. Di pondok, mereka diajar dengan kaedah atau toruq Syatibi yang mana selari dengan pengamalannya di Malaysia. Berbeza di universiti,di peringkat Diploma, mereka diajar dengan toruq Syatibi dan didedahkan dengan matan ad-Durrah. Secara tidak langsung, mereka sudah dapat menguasai asas-asas Qiraat sepuluh. Di peringkat Ijazah pula, mereka diajar dengan kaedah toruq jazari. Ianya lebih luas, spesifik dan menyeluruh lagi. Di peringkat Master dan Phd, mereka akan mengkaji dan mencari dalil setiap proses berlakunya perselisihan bacaan di dalam al-Quran. Di bawah akan disebut tentang method pembelajaran dan juga kepentinagnan pembelajaran ilmu Qiraat di setiap peringkat.




• Mengetahui, mengenal dan mengamalkan pembacaan al-Quran secara tepat dengan proses pembelajaran yang berteraskan ilmu talaqqi dan mushafahah serta dapat membaca dengan penggunaan alunan lagu-lagu al-Quran yang muktabar demi memartabatkan al-Quran sebagai kekuatan mental dan fizikal ummat serta menanamkan minat masyarakat pelajar terhadap ilmu-ilmu al-Quran.
• Memahami, menganalisis, mengaplikasi, mensintesis dan membuat penilaian terhadap maklumat-maklumat dalam al-Quran serta kekhilafan wajah-wajah bacaan serta mengkaji ilmu yang berkaitan bagi membantu memperkasakan kemantapan penguasaan ilmu-ilmu islam dalam bidang pengajian ilmu hafazan al-Quran serta ilmu-ilmu pembacaannya yang diperolehi daripada mata pelajaran-mata pelajaran teras.
• Mengetahui, memahami, menganalisis, mengaplikasi, mensintesis dan membuat penilaian terdapat pendapat-pendapat Qurra’ dalam ilmu khilaf bacaan, usul Qiraat, perkaitan dengan ilmu tafsir yang diperolehi daripada kursus-kursus elektif program.
• Membaca, menulis, mendengar dan berlafaz dalam mengikut lahjah al-Quran mengikut fasahah Bahasa Arab hasil latihan daripada kursus yang ditawarkan dan juga menekankan kedudukan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran kursus-kursus teras program.
• Memantapkan penjagaan hafazan al-Quran supaya menyelamatkan umat Islam dari penentuan hukum fardhu kifayah terhadap pemeliharaan al-Quran dalam dada-dada insan muslim agar ianya tetap terpelihara dari kehilangan, kepupusan dan kelupusannya.




SARANAN


Program pengajian pendidikan Islam di setiap IPTA khususnya, perlu diteliti agar pengisiannya selaras dengan keperluan pembangunan insan dan negara. Misalnya, bidang pengajian tahfiz al-Quran dan Qiraat adalah antara cabang utama pengajian ilmu-ilmu berkaitan al-Quran. Tujuannya dapat dilihat dalam memelihara dan menjaga kesucian ayat-ayat al-Quran daripada kesalahan dan penyelewengan. Satu kajian oleh Muhammad Mustaqim Mohd Zarif et.al (2004), USIM bertajuk “Keperluan dan Prospek Program Tahfiz dan Qiraat di
Malaysia: Kajian Kes di Semenanjung Malaysia” (asas/gunaan) bertujuan mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang terlibat dengan penawaran program ini seperti pelajar, guru tahfiz, majikan dan ibubapa. Aspek-aspek dikaji termasuklah keperluan dan kesesuaian penawaran program berkenaan, kemampuan pelajar mengikutinya serta prospek pengajian dan kerjaya dalam bidang berkenaan. Hasil kajian mendapati bahawa program pengajian Tahfiz Qiraat di peringkat diploma di Malaysia dirasakan sudah memadai. Ini kerana, walaupun terdapat keperluan dan pandangan sosial yang baik terhadap penawarannya di peringkat ijazah sarjana muda, tetapi kekangan perjawatan dan keperluan industri terhadap bidang ini amat terbatas dan memerlukan sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan..







KENAPA ILMU QIRAAT TIDAK BERKEMBANG




Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat Melayu kerana ia tidak dimasyhurkan di negara kita, sedangkan ia berkembang luas pada zaman Rasulullah SAW. dan selepasnya. Sebenarnya ia bukan suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, bahkan Al-Quran yang dibaca sekarang adalah Qiraat, tetapi masyarakat kita tidak mengetahuinya. Sebagaimana Al-Quran dan Qiraat adalah suatu kombinasi yang tidak dapat dipisahkan, begitu juga pada ilmu Tajwid. Ini bermakna Al-Quran itu adalah Qiraat dan Tajwid itu adalah Al-Quran. Maksudnya jika seseorang itu membaca Al-Quran tanpa bertajwid ia tidak dinamakan Al-Quran, juga tidak menjadi suatu ibadat, bahkan ia berdosa di sisi syarak. Firman Allah S.W.T,

ِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا

"Bacalah Al-Quran dengan murattal (bertajwid dan menyebut hurufnya dengan baik)."(al-Muzammil: 4)


Namun, tidak cukup untuk kita membaca bacaan dengan tarannum dan tajwid yang hebat, tetapi ayat-ayat ALlah kita nafikan dan buang dalam kehidupan. Na'uzubillah. Kedua-duanya perlu seiring dan selangkah; pembacaan, pemahaman dan penafsiran ayat-ayat ALlah itu sendiri. Moga-moga kita semua tergolong dalam generasi al-Quran yang bakal menyemarakkan syariat Allah di muka bumi ini. Antara sebab mengapa ilmu Qiraat ini tidak berkembang di Malaysia adalah kerana setelah negara mencapai kemerdekaan sekolah-sekolah rasmi kerajaan hanya menyediakan pengajian yang berhubung dengan tilawah al-Quran dan perkara yang melibatkan ilmu Qiraat tidak di perluaskan. Ini adalah kerana keutamaan dalam mempelajari bacaan al-Quran adalah membaca beserta dengan tajwid dan menjadi kewajipan bagi guru-guru al-Quran memberi penekanan serta tumpuan kepada kaedah bacaan al-Quran beserta tajwid. Seperti mana yang di utarakan oleh Imam Ibnu al- Jazari. Maksudnya:

“Mengamalkan tajwid itu ( ketika membaca al-Qur’an ) satu kewajipan, Sesiapa yang tidak mengelokkan bacaan (membaca al-Qur’an beserta tajwid) adalah berdosa, Kerana beserta tajwidlah Tuhan menurunkan al-Qur’an, Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan”.

Justeru itu pengetahuan terhadap ilmu Qiraat ini di ketepikan dahulu agar masyarakat dapat membaca dengan betul sebelum mendalami ilmu Qiraat ini. Di samping itu juga, pengetahuan sebegini sebahagian besarnya hanya mampu di pelajari di Timur Tengah seperti Mesir, Syiria, Arab Saudi dan sesetengah negara arab yang lain maka timbullah masalah kekurangan pakar-pakar yang khusus dalam bidang ini untuk menerangkan kepada masyarakat pengetahuan tentang ilmu ini.
Keghairahan masyarakat Islam di Malaysia mempelajari seni ilmu bacaan al- Quran ini semakin meningkat. Ini terbukti dengan adanya sambutan yang menggalakkan terhadap kelas-kelas pengajian al-Quran samada dibawah kerajaan, swasta mahu pun persendirian. Walaupun begitu, sebahagian besar kelas-kelas tersebut masih lagi belum memperkenalkan ilmu Qiraat ini kerana lebih menekankan kepada memperbetul dan memperelokkan bacaan.








PENUTUP



Qiraat merupakan suatu ilmu yang tidak dapat kita nafikan keutamaan dan kepentingannya. Menjadi tanggungjawab kita para daie untuk menyebarkan ilmu ini dan memasyhurkan ilmu ini dengan harapan masyarakat di Malaysia tidak melupai kesenian ilmu ini. Seterusnya memartabatkan syariat Islam di atas muka bumi Allah ini. Allah S.W.T sudah berjanji bahawa Dia akan menjaga al-Quran dan ilmu yang berkaitan dengannya sampai hari kiamat. Namun begitu, janganlah kita mengambil mudah dan memandang remeh perkara ini. Semoga kita tidak menjadi golongan yang rugi yang tidak memakmurkan ilmu Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment