Monday, September 20, 2010

Dalil Pada Menyatakan Kewujudan Ilmu Qiraat

Setiap amalan yang dilakukan mestilah bersandarkan kepada nas al-Quran dan hadis. Tanpa disandarkan kepada nas-nas ini maka amalan tersebut dikira tertolak ataupun sia-sia dan tidak diterima oleh Allah s.w.t. Ini kerana agama Islam adalah syariat daripada Allah s.w.t samada berbentuk seruan mahupun larangan bukan rekaan semata-mata.
Tidak syak lagi bahawa al-Quran yang dibaca oleh umat Islam dari dulu hingga sekarang adalah diterima oleh Rasulullah s.a.w yang mempunyai hujah dan nas yang kuat. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir kerana ianya sabit di dalam hadis mutawatirah seperti yang terdapat di dalam riwayat al-bukhari dan riwayat-riwayat lain. Perkara ini merupakan ijma’ para sahabat r.a, iaitu tiada siapa pun di kalangan para sahabat yang mengingkarinya. Di sini kami akan mengutarakan beberapa buah hadis .


HADIS PERTAMA
Dari syihab r.a berkata Ubaidillah meriwayatkan kepadaku bahawa Ibnu Abbas telah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Jibril telah membaca al-Quran kepadaku di atas satu huruf  maka aku membaca huruf tersebut dan setiap kali aku meminta tambahan lalu ia menambahkan kepadaku sehingga terkumpul tujuh huruf.
                                                                                                                    (hadis riwayat bukhari)
Makna hadis: Hadis ini menunjukkan bahawa qiraat diturunkan di Mekah al-mukarramah semenjak turunnya al-Quran kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s. Ia juga menjadi dalil bahawa Rasulullah s.a.w membaca qiraat daripada Allah s.w.t melalui Jibril a.s.
Hadis ini juga menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w berulang-ulang meminta malaikat Jibril meringankan kepada umatnya dalam membaca al-Quran  kerana umatnya tidak mampu.
 Peristiwa ini menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah membaca kesemua huruf-huruf qiraat atau huruf sab’ah yang disampaikan oleh para malaikat tanpa syak dan diragui.

HADIS KEDUA
Dari Umar bin Al-Khattab berkata aku mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah Al-Furqan pada zaman Rasulullah s.a.w. Aku mendengar bacaannya, tiba-tiba beliau membaca di atas huruf yang banyak yang mana Rasulullah s.a.w tidak pernah membacanya kepadaku. Hampir aku ingin menariknya di dalam solat lalu aku bersabar sehingga beliau memberi salam, kemudian aku menarik bajunya seraya berkata; Siapakah yang membacakan surah ni kepadamu? Beliau menjawab, Rasulullah s.a.w yang membacakannya kepadaku. Lalu aku membawanya kepada Rasululah s.a.w  dan mengadu tentang bacaan tersebut yang mana rasulullah s.a.w tidak pernah membaca kepadaku. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh Hisyam membaca surah itu dan baginda bersabda; begitulah ia diturunkan. Kemudian rasulullah s.a.w menyuruh aku membacanya dan seterusnya baginda bersabda; Begitulah ia diturunkan dan sesungguhnya al-Quran itu diturunkan di atas tujuh huruf, maka bacalah di antara mana-mana huruf yang mudah daripadanya.
                                                                                                                      (riwayat bukhari)
Makna hadis: Menunjukkan   Ilmu Qiraat adalah daripada Rasulullah s.a.w dan bagindalah yang mengajarkan bacaan-bacaan tersebut kepada para sahabat.
Penerimaan sahabat mengenai kesemua ilmu dariapada Rasulullah s.a.w adalah berbeza di antara satu sama lain dari semua aspek,begitu juga pada penerimaan al-Quran dan al-Qiraat. Dalilnya ialah semasa pengumpulan al-Quran yang dipimpin oleh Zaid bin Thabit di zaman Uthman bin Affan r.a dimana dia mengumpul al-Quran daripada semua sahabat yang menghafaznya.
Pegangan para sahabat pada ke semua suruhan Rasulullah s.a.w amat kuat dan teguh di mana jika terdapat perkara yang tidak dilakukan Rasulullah s.a.w, mereka pasti akan mengadu kepada Rasulullah s.a.w bagi mendapatkan kepastian tentang hukum tersebut.
Kita diharuskan membaca Qiraat yang dirasakan mudah dan senang bagi kita untuk membacnya tetapi dengan syarat ia diambil daaripada guru bukannya daripada buku sebagaimana yang diamalkan oleh saidina Umar r.a.


No comments:

Post a Comment